Thursday, 28 November 2013

9 AMALAN SIHAT

Assalamualaikum...



Ok, entry aq kali nie, aq nak share sikit dengan korang tentang amalan sihat yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan kita supaya badan kita sentiasa sihat dan segar. Sebelum tu, kenalah cabar diri kita terlebih dahulu untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Amalan nie, takdelah sesusah mana, hanya memerlukan pengorbanan beberapa minit sahaja daripada beberapa jam yang korang ada dalam sehari. Di sini aq senaraikan 9 tips untuk mengamalkan gaya hidup sihat:




1. Tarik nafas dalam-dalam
- Cara ini adalah perkara paling senang untuk diamalkan. Pastikan anda tidak dapat lari daripada sebarang tekanan ataupun rasa marah. Jadi, tarik nafas dalam-dalam dalam kiraan 10. Sangat efektif jika waktu itu kita berada dalam keadaan marah dan tertekan. Oksigen yang masuk ke dalam otak akan memberikan rasa segar dan lapang, sekali gus memberi ruang untuk kita berfikir. Kemudian, carilah teman kita yang boleh mendengar luahan hati kita.


2. Minum, minum dan minum air
-Anda mahu cantik? Jika anda mahu cantik anda haruslah mencabar diri anda untuk meminum air kosong sekurang-kurangnya 2 liter atau lapan gelas sehari kerana dengan meminum air kosong dalam kuantiti yang banyak akan menahan selera makan kita. Ini akan membantu kita mengurangkan berat badan kerana kurangnya pengambilan makanan. Ia juga membantu membuang toksik dan mengekalkan kecantikan kulit. Jadi, jika anda mahu kelihatan cantik, minumlah air kosong sebanyak mungkin.


3. Pilih makanan yang sihat
- PERHATIAN!!!! Jangan amalkan pemakanan yang mempunyai karbohidrat yang tinggi. Amalkan makan makanan yang tidak berminyak dan bergoreng. Jadi, pilihlah makanan yang dapat membekalkan tenaga kepada diri kita dan makanan yang dapat menyihatkan tubuh badan kita.



4. Gigi cantik, anda pun cantik
- Senyum. Gembirakan kalau orang puji senyuman kita cantik sebab gigi kita cantik dan putih. Untuk mendapatkan gigi yang cantik dan putih berseri, berus dan flos gigi anda. Ini akan menghapuskan nafas berbau, mengelakkan plak pada gigi dan seterusnya meningkatkan keyakinan diri anda secara tidak langsung. 



5. Makan pagi
- Adakah anda rasa sihat jika tidak mengambil sarapan? Jika ya, anda silap. Mengikut pada pemakanan dan kesihatan juga, pengambilan makanan yang seimbang dan sihat pada pagi hari sangat baik untuk mengawal berat badan seseorang. Ini kerana, pengambilan sarapan membekalkan tenaga yang optimum kepada seseorang dan membantu mengurangkan rasa cepat lapar menjelang waktu tengah hari. Ambil sarapan secara sihat dan makan malam yang ringan kerana metabolisme memuncak pada waktu pagi dan menurun menjelang malam.


6. Selitkan senaman
- Tidak susah untuk bersenam, Hanya perlukan lima minit sahaja daripada masa  setiap sejam anda bekerja. Tubuh badan kita memerlukan rehat dan cara ini meringankan sedikit bebanan yang anda tanggung. Lakukan regangan, berjalan dan bermeditasi. Cara begini juga mengelakkan anda daripada mudah merasa tertekan sekali gus memberi keceriaan kepada diri anda sendiri. Selain senaman, anda juga boleh mengamalkan pengambilan vitamin B bagi membantu mengekalkan tenaga dan meningkatka prestasi seharian kita.



7. Guna kaedah tangga
- Bukankah sihat jika kita amalkan menaiki tangga berbanding lif atau eskalator? Disebabkan di tempat aq belajar nie banyak tangga, so aq akan manfaatkan tangga yang ada sebaik mungkin untuk kekal sihat. Untuk pengetahuan anda, jika anda menaiki 10 anak tangga, jantung anda sudah mula berdegup. Inikan pula jika jumlahnya lebih banyak. Pasti boleh mengeluarkan sedikit peluh. Ini adalah antara senaman paling mudah untuk dilakukan kerana hanya memerlukan diri anda dan tangga sahaja. Sambil kita menuju ke destinasi kita, pada masa yang sama kita juga boleh bersenam. 



8. Berjalan
- Seronok bukan jika sambil kita berjalan, kalori kita juga akan hilang. Berjalan menggunakan pedometer untuk mengira langkah mungkin lebih menyeronokkan. Ia dipakai pada tali pinggang sepanjang hari dan akan menunjukkan jumlah kalori yang dibakar selepas berjalan. Berjalan adalah senaman terbaik dan mudah untuk mengelakkan osteoartritis. Manfaatnya, termasuklah menguatkan otot kaki, pinggul dan torso, memperbaiki keanjalan dan postur serta menguatkan tulang. 



9. Senaman bangun tidur
- Senaman ini agak sukar dilakukan. Namun, inilah waktu yang paling efektif untuk membuang lemak. Sebelum bangkit dari katil pada waktu pagi, lakukan lima kali senaman perut. Tambahkan bilangannya setiap hari sehingga mencapai 50 kali setiap sesi. Selain membakar lemak, otot abdomen anda menjadi padat dan cantik.

Pemakanan yang seimbang dan senaman adalah dua faktor utama untuk mencapai kesihatan yang optimum. Senaman berterusan membantu mengawal obesiti yang menyumbang pelbagai penyakit seperti jantung, diabetes, peningkatan paras triglisedia dan sakit sendi. Mengekalkan kecergasan dan berat badan sihat membantu memanjangkan jangka hayat dan meningkatkan kualiti kehidupan. Jadi, jika anda ingin kelihatan sihat dan cantik, anda perlulah mengorbankan sedikit masa serta mencabar diri anda untuk melakukan amalan gaya hidup sihat ini. Bukan untuk kebaikan orang lain, tetapi untuk diri anda juga sendiri.
Renung-renungkan, sekian sahaja entry saya pada kali ini......

No comments:

Post a Comment